Thursday, April 30, 2009

Muka 17

Kalau salah tetap salah. Jangan sesekali kita berpihak pada mereka. Ana bukan nak meluahkan apa yang ana hadapi, namun ana ingin ketengahkan hakikat yang pasti kita tangani. Selain itu kita tidak bolehlah hanya dalam lingkungan kelompok kita sahaja. Kita perlu mendampingi sekaliannya. Maka dari situ, kita akan dipandang tidak terpinggir lagi.” Salamku dijawab oleh sekaliannya. Aku menarik nafas setelah lama bicara.


“Ana rasa sekiranya kita ingin dilihat aktif, seharusnya kita punya objek dakwah. Sebagaimana kita yang berada dilingkungan kampus. Maka objek utama ialah mahasiswa-mahasiwa yang belum disentuh dengan dakwah. Ini merupakan tentangan besar atau risiko terhadap kita. Jadi di sini kita dapat menjalankan amanah yang dipikul bukan hanya pada mereka yang dah mengetahui. Sebagaimana yang antum dan antunna lihat situasi di kampus kita ini yang akidah mahupun akhlak mahasiswanya ditahap yang membimbangkan. Dan dari situlah bermulanya peranan dakwah dan menjadi ladang bagi kita untuk turun tangan membajaknya dengan makanan rohani berlandaskan yang dituntuti, insya`allah.”


Sekalian yang hadir mesyuarat pada petang itu, diam. Membisu. Seakan memikirkan apa yang aku ketengahkan. Dalam hati rontaku puas. Aku ingin mereka berani dalam perjuangan. Bukan hanya berani saat berkata-kata sahaja.


“Wah, ukht Athirah. Walau jarang ikut syura tapi selalu keluarkan buah fikiran yang bernas. Masya`allah.” Usik Hasniza perlahan dan bersahaja sambil mencuitku yang duduk bersebelahan dengnnya.


Aku tersenyum dan hampir mengaduh. Dari cuitannya menjadi cubitan.yang terasa sedikit sakit di lutut kananku.


“Ini pujian atau sindiran? Kalau pujian, akan ana lakukan seperti Saidina Ali Karramallahuwajha yang melemparkan sandalnya pada si yang memuji. Bersediakah ukht? Namun kalau ianya sindiran. Ya cukuplah. Sedangkan ana datang hari ini juga sudah rasa cukup disindir sekalian yang lain. Apa taknya, asyik memandang ana saja.”


“Hehee...” Hasniza ketawa perlahan sambil dua tangannya memegang kepala. Takut dilempar dengan sandal. Keadaan mereka diperhatikan akhowat yang lain. Mereka membuat tak tahu sahaja.


“Ya bagus juga saranan yang Ukht Athirah berikan kali ini. Ana rasakan apa yang Ukht Athirah katakan boleh kita laksanakan segera. Berlainan dengan cadangan enta tadi Firdaus. Boleh digunakan. Namun ianya mengambil masa. Kerana segala itu memerlukan modal juga tenaga yang sistematik. Apa pun kita dahulukan mana yang mudah dan senang kita laksanakan. Insya`allah.” Begitulah balas Ra`is Biro Dakwah Dan Pembangunan Insan, Akh Syed Iskandar Syah bin Syed Izzuddin Syah.


Orangnya agak tegas. Dan hujjahnya sering digeruni lawan. Dialah yang banyak membela diriku saat aku terperangkap dengan fitnah beberapa minggu lalu. Berkaitan kes seorang anak orang kenamaan yang melakukan maksiat. Namun tuduhan itu dilemparkan kepadaku pula. Itulah ujian besar padaku tika ingin menjalankan amal ma`ruf nahi mungkar. Aku bersyukur, masih ada pembela. Walau aku tidak mengharapkannya. Namun apakan daya. Notis agar aku tidak aktif dengan pertubuhan dakwah diberikan amat keras. Walau nama saja sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam, namun disebaliknya masih ada dalang yang menutupkan dan membela kemungkaran. ‘Ahhh. .pertanggungjawabkanlah kalian kelak di hadapan Yang Maha Adil lagi Arif’, ketar hatiku geram.


Mesyuarat pada petang itu diakhiri dengan beberapa persoalan juga pelbagai cadangan bernas untuk dilaksanakan. Selain itu setiap apa yang dilaksana mahu pun yang dirancangkan tidak boleh lari dari landasan syariat yang dituntut dalam Islam. Justeru setiap kita berperanan berdakwah dengan bersama turun kelapangan warga kampus. Tanpa mewujudkan jurang. Dan dari situ semuanya mesti dimulakan dengan nawaitu yang ikhlas hanya kerana Allah.


***


Aku rebahkan tubuh di atas tilam yang bercadarkan warna biru laut dan terdapat gambar daun menghiasi. Aku merasa amat penat sekali setelah seharian dengan aktiviti. Peluang yang ada ini, aku bawakan diri rehat agar lupakan segala yang telah dilalui. Lena.


“Irah, bagun nak.” Saran umi saat aku masih amai-amai lagi.


“Ya umi. Masuklah.” Ujarku perlahan tetapi boleh didengari.


Umi membuka tombol pintu dan terus masuk mendapatkan aku. Senyumannya membuatkan hatiku senang sekali. Dialah umi yang kusayang yang banyak menjadi teman setiap kala aku bersendirian mahu pun tidak. Inspirasiku.


“Mari makan Irah.” Pelawa umi padaku


“Irah belum laparlah lagi umi.”


“Janganlah begitu Irah. Nanti sakit siapa yang susah. Umiii juga kan...” Rajuk umi menyentakkan aku. Bingkas aku bangun dari memeluk bantal gebuku itu.


“Alaa... umi, Irah tak lapar lagilah.”


“Apa pun, Irah mesti makan. Umi dah buatkan makanan kegemaran Irah.” Seakan ayat perintah disuarakan umi. Tegas. Namun masih lembut ucapannya.


“Baiklah umi. Irah makan lepas ni. Irah nak mandi dulu ya.” Balasku manja dan senyuman kuhadiahkan buat umi yang banyak jasanya padaku.”


“Errmmm... Irah, kenapa tak pakai kereta yang abi hadiahkan tu? Kan lagi senang Irah gunakan kereta tu, dan boleh cepat sahaja bergerak ke sini sana. Ini tidak naik bas juga. Kan sampai rumah dah dekat senja jadinya. Penatkan.” Ceramah umi berjela.


“Tak naklah umi. Nantilah umi, bila Irah dah punya zaujun baru Irah akan bawa kenderaan sendiri. Hehee..” Balasku menggoda. Lembut juga manja.


“Ha.. itulah yang umi tunggu-tunggu. Bila Irah nak bernikah? Atau nak umi carikan?” balas umi seperti nada mengharap serta bergurau. ‘Alamak.. aku dah terlepas cakap dan terperangkap dengan kata-kataku sendiri. Alahai...’ getus hati.


“Oh umi. Belum lagilah. Insya`allah nantilah. Irah ada sesuatu yang nak diselesaikan dulu. Bersabarlah umi.” Balasku ringkas sambil mencapai tuala untuk ke kamar mandi. Umi terdiam tanpa bicara. Sesungguhnya itulah yang aku harapkan.


“Umi, Irah mandi dulu ya.” Terus aku berlalu meninggalkan umi sendirian di kamar itu.


***


Tubuhku kembali segar setelah disirami air juga bersama sapuan wangian mandian. Aromanya semerbak walaupun telah usai mandi. Baju t-shirt lengan panjang berwarna hitam kupakai ke badan. Beserta kain batik halus buatan Seberang kusarungkan.


Siap mengemas diri juga Solat Maghrib. Aku turun mendapatkan umi yang telah menanti di ruang makan. Umi menghadiahkan senyuman buat anaknya yang seorang ini. Tudung saji yang menutupi lauk-lauk, kucapai dan kubuka. Umi hanya memerhati. Aku pula sepi. Meneladani yang dihadapanku ini. Memukau seleraku. Terus aku makan dengan seleranya sambil ingatan tiba-tiba mengingati mereka yang tidak dapat makan nasi juga apa yang ada dihadapanku ini. Serta merta terbantut seleraku. Namun untuk tidak mengecewakan umi yang dihadapanku ini, aku berlagak selamba walau fikiran sudah jauh dari alam yang dinikmati.


“Ha Irah, macam mana? Sedap tak? Makan sampai tak ingat dunia. Mentang-mentanglah makanan kesukaan Irah.” Seloroh umi antara dengar dan tidak saja bagiku. Namun aku menggahkan juga senyum dan mengangguk. Walau hakikatnya hatiku amat sayu sekali.


“Sedap umi. Biasalah umi yang buat. Memanglah sedap. Lain kali umi buatlah lagi ya.” Aku meneruskan mengunyah nasi yang berlaukkan ikan masak asam kegemaranku bersama sayur bayam dan kentang masak sambal.


“Eh, kenapa tak tambah nasi tu. Mungkin umi masak tak sedap kali ni ya...” rajuk umi membuah kembali. Aku wajar menyatakan apa yang kurasakan pada umi.


“Umi... bukan begitu. Masakan umi memang The Best bagi Irah. Namun, Irah merasakan tidak mampu untuk makan banyak dan sedap selalu. Irah teringatkan mereka yang kekurangan. Mereka tak dapat merasakan semua ini. Makanya Irah tidak keterlaluan untuk terus menyudahkan di sini. Kan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan makan setelah lapar, berhenti sebelum kenyang.” Balasku dengan harapan agar umi mengerti dan menyelami perasaanku tadi. Moga rajuknya hilang melayang.


*** Bersambung


2 comments:

Nissa' Yusof said...

Salam ziarah kembali.

Menarik cerita ni. Novel?

MindaInsani said...

Syukran kerana ziarah blog ana yang tak seberapa ni ukht.

Insya`allah. Ya ini novel.


Berilah komentar ukht ya. Tentang penulisan ana yang tak sehebat ukht tu..